Showing posts with label Dubai. Show all posts
Showing posts with label Dubai. Show all posts

Sunday, 2 March 2014

Rawatan muka 'teknik puntianak' di salun Dubai diharamkan

Dubai  : Pihak berkuasa Dubai mengharamkan rawatan kecantikan yang menggunakan sel darah pelanggan untuk mengekalkan keremajaan wajah.

Prosedur platelet kaya plasma (PRP) itu dikenali sebagai rawatan wajah puntianak dan popular di kalangan pelanggan di banyak spa dan klinik di bandar raya itu.

Pembantu Pengarah Jabatan Kesihatan di Pihak Berkuasa Kesihatan Dubai (DHA), Dr Laila Mohammad Al Marzouqi mengesahkan PRP diharamkan.

“Ia satu bentuk prosedur baru dan perlu dikawal selia seperti prosedur kosmetik atau terapeutik lain untuk memastikan keselamatan pesakit, yang menjadi keutamaan kami,” katanya.

Pengurus operasi Klinik Dermalase di Dubai, Natasha Bennett, berkata beliau berhenti menawarkan rawatan berkenaan di kliniknya berikutan arahan itu.

Suntik ke wajah Namun sebahagian klinik di Bandar Raya Penjagaan Kesihatan Dubai terus menawarkan rawatan berkenaan, dengan berkata mereka tidak tertakluk dengan garis panduan DHA. 
Rawatan PRP adalah prosedur selama sejam yang memerlukan pakar terapi mengambil darah daripada kulit pesakit dalam dua hingga empat tiub. Ia kemudian diletakkan dalam mesin emparan yang memisahkan sel darah merah daripada plasma dalam darah.

Plasma dikumpulkan dalam 12 hingga 14 jarum suntikan dan disuntik ke wajah pesakit. Harga purata bagi satu sesi PRP antara Dh4,000 dan Dh5,000 (RM3,575 dan RM4,469).

Selebriti Kim Kardashian adalah antara yang menjalani prosedur itu, walaupun keberkesanan dan keselamatannya belum dikaji dalam ujian klinikal terkawal. – BeritaHarian Gulfnews

Tuesday, 25 February 2014

DUBAI: Empat tahun untuk dapat lesen memandu

Dubai : Seorang lelaki warga India terpaksa bersusah-payah selama empat tahun untuk memperoleh lesen memandu di Emiriah Arab Bersatu.

Kini, dia bercadang untuk menerbitkan filem mengenai kesusahan yang dihadapinya itu. Selepas menghabiskan hampir Dh40,000 (RM35,747) untuk mengambil ujian memandu sebanyak 27 kali, termasuk terpaksa menangguhkan perkahwinannya, Namsheed Muringolihas akhirnya berjaya mendapatkan lesen memandu pada 18 Februari lalu.

Namsheed, 28, berkata, dia bertukar jurulatih sebanyak 13 kali dan pernah tidak menghadiri upacara pengebumian ahli keluarganya sepanjang tempoh empat tahun itu.

“Saya tidak pernah berputus asa. Selepas setiap kali gagal, saya kumpulkan wang untuk menjalani ujian berikutnya,” katanya.

Namsheed memberitahu dia tidak dapat bercakap dan menggeletar seluruh tubuh setiap kali menjalani ujian memandu. “Malah, pada 18 Februari lalu, ketika saya mengambil ujian memandu buat kali ke-27, bapa tunang saya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di India. Tumpuan saya terganggu, tetapi saya berjaya lulus.

“Saya bertunang dengan Shabeena pada Ogos 2012. Tetapi perkahwinan kami terpaksa ditunda kerana saya mahu mendapatkan lesen memandu terlebih dulu.

Kini, saya boleh pulang dan berkahwin dengan senang hati,” katanya.

Namsheed yang berasal dari Kasargode, Kerala sebelum ini berniat untuk mendermakan sejumlah wang jika berjaya lulus ujian memandu.

 “Sebelum ini, apabila gagal dalam bidang muzik dan filem, kawan-kawan mengejek saya. “Bila percubaan saya untuk mendapatkan lesen memandu juga mengambil masa yang lama, saya sekali lagi menjadi bahan gurauan.

“Namun, kini semua kawan mengucapkan tahniah kepada saya. “Mungkin saya akan menghasilkan filem berdasarkan pengalaman saya untuk mendapatkan lesen memandu.

“Tetapi sebelum itu saya perlu tunaikan hajat yang dibuat dan mendermakan wang untuk tujuan kebajikan,” katanya. - Agensi

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...