Mayat mangsa dijumpai pada kira-kira jam 6.02 petang oleh
anggota bomba dan JPAM.
|
LENGGONG : Seorang remaja ditemui mati
lemas di Lata Kekabu, di sini, petang semalam ketika dia dan beberapa rakannya
sedang bermandi-manda di kawasan tersebut.
Mayat mangsa, Muhammad Safwan Kamarul Zaman, 18, dari Putrajaya
ditemui di kawasan itu oleh anggota Bomba dan Penyelamat serta Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada jam 6.02 petang.
Seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika
kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa dikatakan cuba untuk menguji kedalaman air
di kawasan itu sebelum terus tenggelam.
“Semasa itu, dia kata nak tengok air di kawasan itu dalam atau
tidak. Bila dia turun, dia terus tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi.
“Bila lihat dia mungkin lemas, kami segera menghubungi anggota
bomba dan JPAM untuk bantu kami mencari mangsa,” katanya.
Anggota JPAM Kuala Kangsar yang kebetulan berada hampir dengan
kawasan tersebut segera ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada
kira-kira jam 4.30 petang.
Anggota JPAM, Ahmad Salihim Razali berkata, ketika tiba di situ,
mayat masih belum ditemui dan beliau serta anggota JPAM lain membantu bomba
mencari mangsa.
“Mayat mangsa dijumpai kira-kira jam 6.02 petang dibawa ke
Hospital Kuala Kangsar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul
Manab Bahrom mengesahkan menerima laporan kejadian.
No comments:
Post a Comment