FIRDAUS (dua kanan) bersama isterinya (kiri) menyambut Tahun
Baru Cina bersama keluarga di Kepong, malam tadi.
|
Kuala Lumpur : “Tidak keterlaluan jika saya
kata sambutan Tahun Baru Cina saya bersama ibu bapa lebih bermakna sejak saya
memeluk Islam,” kata saudara baru, Firdaus Wong Wai Hung, 31.
Dia ditemui di majlis ‘makan besar’ bersama-sama ibu bapanya
yang masih menganut agama Buddha di rumah ibu bapanya di Kepong, dekat sini,
malam tadi.
Menurutnya, sejak memeluk
Islam hatinya lebih tenang dan dia juga tidak terbabit dengan aktiviti liar
serta tidak berfaedah, berbanding sebelumnya.
“Sebab itulah sambutan Tahun Baru Cina saya penuh berkualiti
bersama ibu bapa dan bukan keluar berfoya-foya serta minum arak seperti dulu,”
katanya yang juga Presiden dan Penasihat Malaysia Reverted Muslim (MRM).
Firdaus yang kini pendakwah sepenuh masa berkata, hubungan dia
dengan ibu, See Ah Lin, 56, dan bapanya, Wong Tak Kui, 69, tidak pernah
terjejas biarpun selepas memeluk Islam, sembilan tahun lalu.
Menurutnya, dia amat bersyukur apabila ibu bapanya memberi
peluang menjadi Muslim dan sebagai tanda terima kasih dia akan memastikan tidak
mengabaikan tanggungjawab kepada mereka.
Menceritakan bagaimana dia memeluk Islam, Firdaus berkata ia
bermula dengan persoalan mengenai fungsi dia dilahirkan di dunia.
“Dulu, setiap minggu saya ke kelab malam dan minum sehingga
mabuk. Namun hidup saya rasa kosong. Selepas peluk Islam, baru saya faham apa
makna kehidupan dan fungsi sebagai khalifah Allah di muka bumi,” katanya.
Bapa kepada tiga orang anak itu juga bersyukur dikurniakan
isteri, Nor Shakina Shahruddin, 32, yang memahami keadaan dirinya yang masih
mempelajari Islam dan masih memerlukan bimbingan ketika baru memeluk Islam.
Mengenai aktivitinya kini sebagai pendakwah, Firdaus berkata
biarpun banyak cabaran yang perlu ditempuhinya, dia berserah segala-galanya
kepada Allah.
“Bagi saya, permulaan adalah perkara yang paling sukar, namun
Allah sentiasa ada untuk memudahkannya selagi kita percaya kepada Nya.
Sementara itu, Wong berkata dia tidak menghalang anak bongsu
daripada tiga beradik itu memeluk Islam kerana akhlak dan kelakuannya
membuktikan dia mampu menjadi anak yang baik.
“Saya tidak menghalang permintaannya sembilan tahun lalu asalkan
mengikut jalan yang betul,” katanya. - HarianMetro
No comments:
Post a Comment