Thursday, 28 November 2013

NUSAJAYA: Replika pokok Krismas di Legoland Malaysia

Pereka model, Libor Udzral dan Muhammad Khairul (kanan) menunjukkan isyarat bagus setelah selesai menyempurnakan pelancaran model pokok Krismas.

NUSAJAYA  :  Memeriahkan kedatangan Krismas yang bakal disambut penganut agama Kristian bulan depan, Legoland Malaysia, berjaya menghasilkan replika pokok Krismas menggunakan kepingan Lego yang merupakan struktur pokok tertinggi pernah dihasilkan di taman tema Legoland di dunia.

Struktur pokok yang tinggi hampir sembilan meter itu dibina menggunakan 427,695 kepingan lego membabitkan 15 hingga 20 ahli pasukan dipamerkan hingga Januari tahun hadapan.

Pengurus pereka modelnya, Stefan Bentivogio berkata, struktur pokok yang dihasilkan dengan 260 hiasan bersama 108 lampu LED dengan berat 6,057 kilogram itu mengambil masa 10 minggu atau dianggarkan dalam 3,440 jam untuk disiapkan.

“Kita menggunakan program komputer untuk membantu proses rekabentuk. Struktur seperti pokok Krismas ini yang diperbuat lebih daripada 400,000 kepingan lego memerlukan rekabentuk dan dimensi yang tepat.

“Jadi, ia dipecahkan kepada 40 bahagian utama sebagai memastikan kita dapat memasang semula pokok tersebut pada masa hadapan.

"Satu lagi pertimbangan yang dibuat adalah faktor cuaca. Jadi rekabentuk pokok ini dapat menahan angin, haba dan hujan,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Pokok Krismas ini adalah yang ketiga dihasilkan selepas di Legoland California dan Legoland Florida dan bersempena perayaan tersebut, waktu operasi Legoland Malaysia dilanjutkan sehingga jam 8 malam. - SinarHarian

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...