Gombak: Perwatakannya alim dan tidak pernah tinggal solat malah rajin membaca al-Quran namun semua itu gagal mengawal sikap panas baran apabila sering membelasah isteri dan anaknya jika kedua-dua beranak itu melakukan kesilapan.
Malah lelaki berusia 40-an itu mendakwa memukul anak lelakinya berusia 12 tahun bertujuan mendidik dan jika isterinya campur tangan, wanita itu turut akan dibelasah sehingga kedua-dua beranak itu sering cedera dan lebam pada seluruh badan.
Dalam kejadian terbaru Khamis lalu, lelaki itu sekali lagi mengamuk dan membelasah anak lelakinya selepas dia hilang tumpuan ketika membaca al-Quran gara-gara anaknya itu bermain di ruang tamu rumah mereka di Kundang, dekat sini.
Lelaki berkenaan yang hilang pertimbangan terus membelasah anaknya itu malah isterinya yang menghalang perbuatannya turut dipukul.
Tidak tahan dengan sikap panas baran suaminya, wanita berusia 40 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Kundang pada hari sama.
Dalam kejadian jam 8 malam itu, lelaki terbabit pada mulanya mengaji di dalam bilik tidurnya sebelum terdengar bunyi bising di ruang tamu rumah.
Menurut sumber, geram bacaannya terganggu, lelaki terbabit kemudian keluar dari bilik dan mendapati anak lelakinya itu bermain di ruang tamu.
“Gagal mengawal perasaan, lelaki berkenaan bertindak memaki hamun dan memarahi anaknya itu menyebabkan mangsa terkejut dan tidak berani melawan.
“Perbuatan itu turut disedari isterinya yang ketika itu berada di dapur sebelum keluar ke ruang tamu dan meminta penjelasan mengenai sikap suaminya yang tiba-tiba melenting,” katanya.
Sumber berkata, lelaki itu kemudian memberitahu anak mereka membuat bising sehingga tumpuannya ketika membaca ayat suci al-Quran terganggu lalu bertindak memukul anaknya itu.
“Isterinya yang terkejut dengan tindakan berkenaan bertindak menghalang, namun turut dipukul.
“Selepas puas membelasah mangsa, lelaki terbabit kemudian terus keluar dari rumah dengan membiarkan isteri dan anaknya yang cedera,” katanya.
Difahamkan, sebelum ini, isterinya pernah membuat laporan polis berhubung suaminya itu namun menarik balik laporan berkenaan selepas lelaki itu berjanji akan berubah dan tidak mengulangi perbuatannya itu lagi.
Namun, sikapnya itu tidak bertahan lama apabila kembali memukul anak dan isterinya menyebabkan mangsa kali ini nekad membuat laporan polis sekali lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
SUMBER: mforum
Apakah permasaalahan manusia hari ini, di manakah pengamalan Al-Quran yg sering di bace dan solat yg ditunaikan....
ReplyDeleteDari Hasan, dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:
"Umatku masuk Syurga bukanlah kerana banyak solat dan puasa tetapi disebabkan selamatnya hati dan kemurahan jiwa dan kasih sayang sesama muslim."